Jang Guna Samurai Hadapi Musim Baharu

NSFCNews

Negeri Sembilan FC hari ini mengesahkan kehadiran pemain dari Jepun, Takumi Sasaki bersama pasukan itu.

Takumi yang berusia 25 tahun bermain di posisi tengah. Bekas pemain kebangsaan Jepun B20 itu beraksi bersama pasukan Ehime FC sebelum ini. Beliau telah bermain sebanyak 22 perlawanan dan mencetak 2 jaringan dalam saingan Liga J3 musim 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, kehadiran Takumi ke dalam pasukan bukan sahaja memberi nilai tambah dari sudut kebolehan beliau di atas padang, malah memberi peluang kepada Negeri Sembilan FC untuk meneroka peluang baru di negara matahari terbit itu.

“Penilaian ke atas Takumi telah dilakukan oleh pasukan teknikal dan kita teruja dengan kebolehan Takumi disamping keserasian beliau dengan rakan sepasukan yang lain,” katanya.

Bagi Takumi pula, beliau gembira dengan penerimaan rakan sepasukan terhadap dirinya.

“Mereka adalah orang yang sangat baik, saya fikir kita akan cepat menjadi sebuah pasukan yang terbaik,” ujar beliau.

Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki Takumi, pastinya beliau menjadi pemain harapan untuk membawa cabaran Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Malaysia musim ini.